About Us
   Products & Services
   Registration Form
   Volunteer
   Youth Center
   Contact Us
           
 You are in :: Home > Articles

Articles
Q&As



Kanser Serviks

Kanser serviks merupakan pembunuh kedua utama bagi golongan wanita di Malaysia pada masa kini. Satu pertiga dari jumlah kematian akibat kanser di kalangan golongan wanita juga disebabkan oleh kanser ini. Malangnya 80% wanita yang pertama kali disahkan mendapat kanser serviks sudah berada pada tahap yang serius dan tidak dapat diubati dengan sempurna sungguhpun program penyaringan kanser serviks seperti Pap smear telah wujud sejak tahun 1943.

Lumrahnya, kanser serviks sebenarnya mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang. Di kawasan di mana proses saringan kanser serviks yang ada mencukupi, penurunan kadar kematian sebanyak 90% telah dapat dicapai. Pada dasarnya terdapat 2 cara pengesanan awal kanser serviks iaitu dengan Pap smear dan Visual Inspection With Acetic Acid (VIA). Walau bagaimanapun, di Malaysia ujian Pap smear lebih digemari.

Selaras dengan kemajuan dari segi teknologi, negara kita sepatutnya juga menunjukkan peningkatan kemajuan dari segi kesihatan kerana impak penyakit kanser serviks terhadap sesuatu keluarga adalah menyeluruh samada dari segi psikologi, sosial dan kewangan.

Matlamat kita adalah untuk mengikut jejak langkah negara maju seperti United Kingdom yang mana program Pap smear secara berkala yang telah dilancarkan pada tahun 1988 ke atas wanita 20-64 tahun telah berjaya mengurangkan insiden penyakit kanser serviks dari 16 per 100,000 wanita pada tahun 1986 ke kadar 9.3 per 100,000 wanita pada tahun 1997 sementara kadar kematian disebabkan kanser serviks telah menjunam turun sebanyak 7% setiap tahun [Patnick J, “Cervical Cancer Screening In England”, Eur J Cancer, 2000 Nov;36 (17): 2205-8]. Program itu juga berjaya mencapai peratus wanita yang terlibat dalam Pap smear meningkat ke sekitar 85%.

Di Malaysia pula, melihat kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2001, walaupun setelah terlaksananya program Pap smear, kadar insiden kanser serviks dalam jangkamasa 10 tahun iaitu dari tahun 1990 ke 1999 tidak menunjukkan perubahan ketara di mana tahun 1990 kadar insiden adalah 13.3 per 100,000 wanita dan tahun 1999 adalah 11.37 per 100,000 orang wanita menggambarkan bahawa program Pap smear di Malaysia tidak menyeluruh dan tidak diamalkan oleh mereka yang memerlukannya iaitu kaum wanita yang telah bermulanya aktiviti perhubungan seks. Oleh itu, program ini telah gagal menyekat peringkat awal penyakit pangkal rahim yang melibatkan kumpulan sasaran tertentu dari menjadi kanser serviks. Disebabkan itu jugalah, kadar kematian akibat kanser serviks di Malaysia dari tahun 1990 hingga ke 1999 tidak berubah iaitu 0.5 per 100,000 wanita pada tahun 1990 dan 0.4 per 100,000 wanita pada tahun 1999. Pada masa yang sama, kajian oleh “National Health and Morbidity Survey II” pada tahun 1997 menunjukkan bahawa hanya 26% wanita Malaysia telah menjalani ujian Pap smear dan keadaan ini amatlah mendukacitakan.

Statistik seperti di United Kingdom tidak mustahil untuk dicapai asalkan golongan wanita di negara kita menjalankan tanggungjawab terhadap diri sendiri dengan menjadikan Pap smear sebagai suatu ujian rutin secara berkala agar peringkat awal penyakit pangkal rahim yang lazimnya tidak menunjukkan apa-apa tanda/ symptom klinikal dapat dirawat dan tidak membolehkan ia menular menjadi kanser. Kos yang perlu ditanggung oleh negara kita dalam memastikan ujian Pap smear dijalankan secara berkala adalah besar tetapi ia berbaloi memandangkan kos merawat dan mengubati seseorang pesakit kanser serviks dan kesannya kepada ekonomi sesebuah keluarga adalah jauh lebih besar dari itu.

· Kanser serviks mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.
· Pemeriksaan Pap smear adalah cara terbaik untuk mengesan kanser serviks pada peringkat awal.
· Kaum wanita yang telah bemulanya aktiviti perhubungan seks perlu menjalani ujian Pap smear.
· Pemeriksaan Pap smear perlu dilakukan secara berkala, dimulakan dengan bermulanya aktiviti seksual.


OLEH: DR. MASLINOR ISMAIL, MD (UKM)
Pegawai Perubatan, Pusat Kepakaran
Reproduksi Manusia, LPPKN, Malaysia.


Become Member!