About Us
   Products & Services
   Registration Form
   Volunteer
   Youth Center
   Contact Us
           
 You are in :: Home > Articles

Articles
Q&As



Saya dan Nilai Saya

Apabila saya diberi peluang untuk menulis artikel berdasarkan Modul Kesihatan Reproduktif Remaja atau ‘Reproductive Health of Adolescents Module (RHAM), maka tergerak di hati ini untuk berkongsi pengalaman dan lantas membuat keputusan “ Saya dan Nilai Saya” menjadi topik pilihan. “Rasanya bagai mati hidup semula”, hanya itu yang dapat saya katakan apabila ditanya tentang perasaan saya setelah mengalami kejadian yang tidak akan saya lupakan seumur hidup saya.

Kejadian itu berlaku ketika saya masih lagi menuntut tahun akhir di salah sebuah Pusat Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Saya dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang kecil dan merupakan anak tunggal. Semenjak dari kecil, saya telah dijaga oleh nenek dan diserahkan kepada kedua ibubapa saya setelah meningkat dewasa iaitu selepeas pemergian arwah nenek.Saya tidak pernah mengalami masalah kewangan kerana bapa saya adalah seorang pengurus bank manakala ibu saya merupakan seorang pengarah syarikat salun kecantikan yang terkenal.

Dalam menjalani rutin kehidupan seharian, tidak dinafikan bahawa ibu dan bapa saya adalah terlalu sibuk dengan tugas masing-masing sehingga mereka terlupa bahawa apakah nilai yang paling penting di dalam sesebuah institusi keluarga dan apakah mesej keluarga yang patut disampaikan. Setiap kali seisi pengajian tamat, saya tidak akan terus balik ke rumah kerana apalah gunanya tiada siapa yang boleh diajak lawan bercakap. Sebaliknya masa yang terluang akan saya habiskan bersama kawan-kawan terutamanya teman lelaki saya.

Saya mempunyai seorang teman lelaki ataupun secara amnya bak kata orang zaman sekarang ‘Special Boyfriend’ dan biarlah saya menamakannya sebagai si ‘A’ sahaja. Dialah tempat saya mencurahkan perasaan dan mengadu jika menghadapi apa jua masalah. ‘A’ bekerja sebagai pengurus kewangan di syarikat milik bapanya dan juga merupakan anak kepada pasangan yang sama taraf hidup dengan saya tetapi yang membezakan kami ialah ‘A’ mendapat nilai kasih sayang yang saya rasakan cukup sempurna kerana kedua ibubapanya sangat mengambil berat tentang hal diri dan kehidupannya walaupun mereka sibuk dengan tugas tetapi pandai membahagikan masa untuk bermesra bersama anak mereka.

Hubungan saya dengan ‘A’ juga terlalu rapat dan di kalangan teman-teman kami digelar ‘loving belangkas couple’ bak kata pepatah ke mana saja hala tuju mesti berdua tak boleh dipisahkan. Pada suatu hari, ‘A’ telah memberitahu saya bahawa dia terpaksa ditugaskan bekerja di luar negara kerana menguruskan salah sebuah cawangan syarikat bapanya di sana selama setahun. Saya terpaksa terima dengan hati yang terbuka kerana tiada pilihan lain walaupun hati ini berat untuk melepaskannya.

Sepanjang ketiadaan ‘A’ di sisi, perubahan nilai yang ketara telah berlaku dalam hidup saya. Saya rasa begitu kesunyian dan tiada tempat untuk mengadu. Saya telah mula bercampur gaul dan berjinak-jinak dengan kawan-kawan lama yang terlalu sosial, selalu berkunjung ke kelab-kelab malam. Sebelum ini juga tidak dinafikan juga bahawa nilai pergaulan saya adalah terlalu sosial tetapi ianya agak berkurangan apabila saya mengenali ‘A’. Dialah yang banyak memberi dorongan agar saya tidak terlalu bebas kerana dikhuatiri akan berlaku sesuatu yang buruk kepada diri saya. Saya akur dengan kehendaknya.

Atas hasutan kawan-kawan yang mengatakan bahawa tidak akan menjadi masalah jika saya menjalin hubungan dengan orang lain semasa ketiadaan ‘A’ kerana saya sendiripun tidak pasti samada ‘A’ juga jujur atau tidak apabila berada di negara orang, maka saya telah diperkenalkan dengan seorang lelaki dan biarkan saya menamakannya sebagai si “B” sahaja dan menjalin hubungan rapat dengannnya.

Saya tahu bahawa ‘B’ menyayangi, mengambil berat dan menyintai saya sepanjang perhubungan yang terjalin tetapi jauh di sudut hati ini, niat saya menjalin hubungan dengannya hanyalah sekadar sahabat baik kerana saya lebih menyintai ‘A’. Sepanjang perhubungan saya dengan ‘B’ saya tidak pernah memberitahunya bahawa saya telahpun mempunyai teman lelaki kerana pada masa yang sama juga saya takut kehilangannya.

Kadang-kadang terfikir juga masalah yang akan timbul dan apakan tindakan yang akan dilakukan sekiranya ‘B’ mendapat tahu bahawa saya telah memainkan perasaannya tetapi pada penilaian saya, tiada apa akan berlaku kerana ‘B’ merupakan seorang lelaki yang boleh di kategorikan jejaka ‘handsome dan smart’, mempunyai kriteria yang baik iaitu seorang yang pendiam dan tidak banyak kerenah. Sudah tentu apabila saya membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengannya pasti ramai gadis lain akan terpikat padanya. Selain daripada itu, saya juga beranggapan bahawa dia tidak akan melakukan sesuatu yang buruk kepada saya kerana ‘B’ juga merupakan seorang lelaki yang sabar dan tidak pernah panas baran.

Setahun telah berlalu. Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu. ‘A’ telah kembali ke tanah air dan saya telah dikhabarkan dengan berita gembira apabila ‘A’ mengumumkan bahawa dia akan mengahwini saya pada tahun hadapan iaitu tahun saya akan mengakhiri pengajian di IPTS. Wah, seronoknya bukan kepalang bermain-main di kepala saya kerana segala masalah saya akan dapat diselesaikan dalam masa setahun ini. Ini bermakna saya masih lagi berpeluang berfoya-foya dengan ‘B’ dan akan memberitahunya bahawa saya akan memutuskan perhubungan dengannya dan akan dikahwinkan dengan lelaki pilihan keluarga pada penghujung tahun nanti.

Kehidupan saya begitu ceria sekali. Begitu bertuahnya saya kerana dapat bertukar-tukar pasangan ke setiap destinasi yang hendak di tuju. Tidak perlu untuk membuat urutan pemilihan yang mana paling penting, cakap saja hendak ke mana, nak apa semuanya akan dituruti oleh kedua-dua teman lelaki saya. Terasa dunia ini saya yang punya. Saya begitu pandai menyimpan rahsia sehinggakan ianya tidak dapat dihidu oleh ‘A’ dan ‘B’.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Sejak akhir-akhir ini, saya jarang menghubungi ‘B’ lagi kerana saya begitu sibuk dengan persiapan mengahadapi peperiksaan semester akhir pengajian yang hanya tinggal dua bulan saja lagi tetapi ‘B’ tidak putus-putus terus menghubungi saya hinggalah pada suatu petang, saya terpaksa menjawab panggilan telefon darinya dan ‘B’ mengatakan bahawa dia ingin sangat berjumpa dengan saya kerana ada hal penting yang ingin diperkatakan. Di kelab malam kami mengatur pertemuan tanpa pengetahuan ‘A’.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah peribahasa yang telah menimpa saya. Rupa-rupanya rahsia saya telah terbongkar apabila ‘B’ mendapat tahu bahawa saya telahpun mempunyai teman lelaki yang lain dan dia munyuruh saya memilih saya membuat pilihan samada memilih dia atau ‘A’. Sayapun tanpa teragak-agak terus menyatakan kepadanya tujuan utama untuk saya bertemu dengannya ialah untuk memberitahu bahawa saya ingin meminta maaf dan akan memutuskan perhubungan dengannya kerana akan berkahwin tidak lama lagi.

Dari air muka, ‘B’ tidak menunjukkan sebarang reaksi marah malah tersenyum dan ‘stay cool’ saja. Saya berasa sunguh lega sekali. ‘B’ meminta izin untuk keluar sebentar dan memohon agar saya duduk bersama rakan-rakan yang lain di kelab malam sebelum menghantar saya pulang ke rumah. Saya bersetuju dan tidak berapa lama kemudian, sedang saya dan teman-teman rancak ketawa, tiba-tiba muncul dua orang lelaki menuju ke arah saya lalu menyimbah asid yang amat pedih di wajah saya.

Saya menjerit kesakitan kerana kulit muka saya melecur dan berubah dalam sekelip mata sahaja. Saya telah dihantar ke hospital dan berada dalam keadaan koma selama dua hari. Setelah sedar, saya diberitahu oleh bapa saya bahawa pihak polis telah berjaya memberkas ‘B’ kerana dia yang merancang dan mengupah orang untuk menyimbah asid ke wajah saya dan membuatkan saya menderita seumur hidup.

Kini, saya telah sembuh setelah menjalani pembedahan plastik walaupun tidak mendapat semula wajah saya yang asal dan saya bersyukur serta berbangga kerana saya masih mempunyai ‘’nilai saya’’ yang berharga iaitu ‘A’ yang masih setia bersama saya berkongsi penderitaan serta menerima saya dalam apa jua keadaan sekalipun. Begitu juga dengan kedua ibubapa saya, mereka telah menumpukan perhatian dan memberi saya nilai kasih sayang yang tidak dapat mereka berikan sebelum ini.

Kesimpulannya, nilai bermula sebelum akil baligh iaitu dari peringkat awal lagi seperti perumpamaan ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ dan kita tidak boleh seumpama lalang, menurut arah tiupan angin tanpa membuat penilaian terlebih dahulu sebelum bertindak. Perubahan nilai kekeluargaan boleh berubah mengikut keadaan iaitu kesibukan tugas boleh dirancang jika kita pandai membahagikan masa. Persekitaran juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap perilaku, pemikiran dan tindakan seseorang. Perkembangan nilai membantu kita mengetahui apakah hala tuju dalam menempuh kehidupan yang kita lalui sekarang dan kita juga tidak boleh menilai seseorang itu melalui tanggapan dari gerak hati tanpa membuat penilaian terlebih dahulu di sertai tindakan yang bijak. Kita juga perlu berhati-hati dalam membuat urutan nilai pemilihan iaitu menyenaraikan apa yang paling penting contohnya jika saya menyenaraikan bahawa tidak menjalin hubungan dengan ‘B’, menumpukan perhatian kepada pelajaran, tidak terpedaya dengan hasutan kawan dan mengurangkan aktiviti yang kurang berfaedah, sudah tentu peristiwa hitam tidak akan berlaku, pasti ganjaran yang akan saya perolehi ialah nilai dan keputusan kehidupan yang ceria dan tidak menyusahkan mana-mana pihak.


Lina, FFPAM

Become Member!