About Us
   Products & Services
   Registration Form
   Volunteer
   Youth Center
   Contact Us
           
 You are in :: Home > Articles
Articles
Q&As



KEHIDUPAN KU TELAH BERUBAH…

Izal adalah seorang pemuda dari sebuah kampung di pedalaman Sabah. Kehidupannya bersama 6 adik-beradik amat susah. Izal anak ketiga dalam keluarga menghadapi tekanan perasaan dari kedua-dua ibubapanya yang sering memaksa dirinya untuk menjadi seperti abang-abangnya. Abang pertama dan keduanya telah berjaya atas usaha diri mereka walaupun kehidupan mereka terhimpit dengan kedaifan. Oleh kerana takut akan mengecewakan ibubapnya, Izal telah belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang membanggakan. Dengan usaha ini, Izal telah berjaya mendapatkan tempat di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Kehidupan di kampus pada permulaanya amat susah untuk Izal menyesuaikan diri. Akan tetapi, dengan sikapnya yang peramah dia mengenali rakan-rakan sekuliah yang lain. Izal berasa gembira kerana tekanan yang diberikan oleh keluarganya selama ini telah berkurangan. Kehidupan Izal di Kuala Lumpur kini hanya tertumpu pada jurusan yang didaftar.

Beberapa bulan telah berlalu, Izal telah mempunyai pelbagai kawan yang terdiri daripada berbagai bangsa dan golongan keluarga yang berbeza. Dia mempunyai beberapa rakan sekuliah yang amat rapat dengannya. Amir merupakan salah seorang daripadanya. Dia selalu membawa Izal keluar ke kota untuk melepak bersama dan berjumpa dengan rakan-rakan mereka yang lain. Dari sini, Izal telah berkenalan dengan beberapa gadis yang selalu lepak bersama. Gadis-gadis ini mempunyai citarasa yang tinggi pada lelaki dan selalu berpakaian seksi. Setiap hujung minggu, Amir dan Izal akan berjumpa dengan gadis-gadis ini. Mereka akan berseronok bersama hingga lewat malam.

Kehidupan Izal di universiti kini telah berubah. Dia mula tidak menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran dan lebih suka keluar bersama Amir. Dia lebih mementingkan kawannya. Pada suatu petang Sabtu, Izal telah membuat temujanji dengan seorang gadis yang sering dijumpainya, Lina. Mereka telah keluar berdating hingga ke lewat petang. Lina telah mengajak Izal ke rumahnya selepas makan malam. Tanpa berfikiran panjang, Izal terus mengatakan ya pada pelawaan itu.

Di rumah Lina, Izal terpegun melihat hiasan dalaman yang begitu ekslusif sekali. Izal ditinggalkan di ruang tamu manakala Lina ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Izal terfikir-fikir dari manakah Lina mampu membuat hiasan dalaman sebegini. Namun demikian, Izal terus menyangkal fikirannya dari terus berfikir apabila Lina keluar dari biliknya dengan hanya berpakaian tidur. Rambutnya masih basah. Ini telah mengugat sifat kejantanan Izal. Lina terus duduk bersebelahan dengan Izal. Mereka berborak dan menonton televisyen bersama. Malam semakin sunyi dan akhirnya mereka berdua diuliti kesunyian malam berduaan.

Tahun demi tahun berlalu. Izal telah berjaya dalam jurusan yang diambilnya. Kini Izal dengan tekad ingin menetap di kota metropolitan ini. Dia tidak mahu kembali ke tempat asalnya. Izal telah mencari kerja dan rumah sewa untuk dirinya. Izal telah berjaya mendapatkan kerja di sebuah syarikat swasta. Tetapi Izal masih seperti dulu. Dia masih terus berkawan dengan gadis-gadis lain. Dari malam ke malam, Izal akan meniduri gadis yang berlainan di hotel murahan. Dia berasa puas apabila nafsu buasnya itu dapat dilepaskan pada gadis-gadis itu. Bagi Izal, semua gadis yang dikenalinya adalah sama. Mereka adalah mata dutian dan kegersangan.

Selepas beberapa tahun, Izal diberi tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat antarabangsa. Gajinya lumayan dan Izal akan diberi kereta dan rumah apabila dia menjawat jawatan itu. Sebelum Izal diterima bekerja, dia dikehendaki membuat ujian kesihatan dan ujian darah. Selepas beberapa hari, keputusan ujian dikeluarkan. Doktor memanggil Izal ke hospital untuk memberitahunya keputusan yang didapati. Dia terkejut dengan keputusan itu dan tidak menyangka apa yang dilakukannya selama ini telah mengundang musibah yang akan merosakkan hidupnya. Izal menghidapi HIV+. Izal merasa hidupnya kini menjadi begitu gelap dan tiada harapan lagi. Izal telah meminta doktor membuat ujian darah itu sekali lagi, akan tetapi keputusan yang keluar masih tetap sama. Izal diberi kaunseling dan pendidikan tentang penyakit ini.

Kini, Izal masih lagi bekerja dengan syarikat lamanya. Hubungannya dengan rakan-rakan sepejabat masih seperti dulu walaupun mereka telah tahu tentang penyakit yang dijangkiti Izal. Kini Izal mengamalkan hidup sihat dengan melakukan senama setiap hari dan mengambil makanan yang berzat. Izal tidak memberitahu keluarganya tentang status kesihatannya itu. Izal membuat keputusan untuk pulang ke kampung bercuti dan berjumpa dengan ahli keluarganya yang lain. Dalam perjumpaan itu, dia akan memberitahu mereka tentang apa yang telah terjadi padanya.

Dengan gaya kehidupan moden pada masa sekarang, ia telah menyebabkan anak-anak muda mudah terjebak ke arah sesuatu yang boleh merosakkan diri mereka. Bagi anak-anak muda sekarang, mereka lebih suka mencuba perkara baru dimana ia akan membawa diri mereka menjadi lebih teruk dan juga menjangkiti penyakit-penyakit. Oleh itu, anak-anak muda haruslah diberi pendidikan dalam hal-hal kesihatan dan bagaimana mereka dapat mencegah diri mereka daripada terjebak dalam hal yang tidak diingini dan menyesal kemudian hari.


Nur Azyyati Abdul Rahman
Pembantu Pegawai Projek
Penang FPA
Become Member!