About Us
   Products & Services
   Registration Form
   Volunteer
   Youth Center
   Contact Us
           
 You are in :: Home > Articles
Articles
Q&As



Cinta Bukan Milik Kita

Hubungan percintaan sering diperkatakan setiap masyarakat tidak mengira umur. Baik yang muda dan juga tua sering memperkatakan tentang hubungan ini. Cinta mempunyai banyak maksud dan ia berlainan bagi setiap orang. Kesilapan sering berlaku kerana maksud yang ditafsir berbeza. Seperti dimana kita tidak dapat membezakan antara kesukaan, keinginan, meminati seseorang, keperluan, nafsu dan cinta.

Setiap orang ingin jatuh cinta, mempunyai seorang yang dicintai dan juga dicintai. Tetapi kebanyakan pasangan menyalahgunakan maksud sebenar cinta. Cinta tidak boleh dikawal atau dipaksa. Kita tidak dipaksa untuk bercinta tetapi ia datang secara semulajadi dan kita perlu berusaha untuk mencari cinta yang sesuai. Cinta sebenar/sejati mempunyai ciri-ciri seperti keikhlasan, hormat-menghormati, kasih sayang, mengambil berat, kemesraan dan komitmen.

Gadis ini mempunyai pendapat yang berbeza pada seorang lelaki. Pendapatnya sering ditertawakan oleh rakan-rakan, tetapi bagi dirinya dia benar-benar berpegang pada apa yang difikirkannya.

Dia mula 'chat' di ruangan sembang untuk meluangkan masanya pada waktu malam. Dari situ, dia mula mengenali ramai kawan tetapi kawan-kawannya itu ialah lelaki. Dia berasa mudah untuk berkomunikasi dengan mereka tanpa berjumpa. Tiap-tiap malam dia akan melayari ruangan itu untuk berjumpa dengan kawan-kawan yang tidak pernah ditemuinya. Ini amat mengembirakan dirinya. Setelah beberapa bulan chat di ruangan itu, dia telah mula berkenalan dengan seorang lelaki A dari negeri lain. Dari situ, mereka telah bertukar-tukar nombor telefon. ‘A’ telah mula menelefonnya setiap hari tanpa alasan. Pada waktu malamnya pula, janji temu telah dibuat untuk bertemu di ruangan chat. Setiap malam bertemu dan akan chat hingga lewat pagi. ‘A’ telah menaburkan kata-kata manisnya sehingga menyebabkan dia telah tertarik pada ‘A’ itu. Dia telah mula jatuh cinta pada ‘A’. Dia tidak pernah bertanya pada ‘A’ tentang perasaan ‘A’ padanya. Dengan itu, dia telah membuat keputusan untuk berjumpa dengan ‘A’ selepas dia telah menolak beberapa ajakan ‘A’ untuk berjumpa. Tarikh ditetapkan dan mereka telah berjumpa. Tetapi setelah berjumpa, hal lain pula terjadi. Perhubungan itu tidak kekal lama.

Dalam pada masa itu, gadis ini pula berkenalan dengan 'B'. 'B' pula lain ciri-cirinya dan berasal dari tempat yang sama. ‘B’ suka berterus terang dan amat mengambil berat tentangnya. ‘B’ juga amat menyayangi dan prihatin terhadap gadis itu. Mereka sering berjumpa di ruangan sembang dan chat apabila ada masa terluang. ‘B’ juga sebagai penasihat kepada gadis ini apabila dia menghadapi masalah dan juga memberi jalan penyelesaian pada dirinya. Setelah sebulan berkenalan dan mengenali diri masing-masing, gadis ini telah berjumpa ‘B’. Dari perjumpaan pertama ini, mereka lebih kerap berjumpa. Setiap minggu mereka menghabiskan masa bersama ke sana sini. Berjalan berpegang tangan, makan minum berkongsi sehingga menjadi tarikan orang yang ada berdekatan. Hubungan mereka sebagai sepasang kekasih dipenuhi dengan saat-saat manis dan kegembiraan. Gelak tawa bersama telah membungakan sebuah perhubugan yang diimpikan oleh setiap pasangan.

Setelah 4 bulan bersama, gadis ini bercadang ingin memperkenalkan ‘B’ pada ahli keluarganya tetapi ‘B’ tidak beberapa menyetujui cadangan itu. ‘B’ telah memberi alasan yang pelbagai, sehingga gadis ini berasa bosan, tetapi dia masih memberi cadangan yang sama kepada ‘B’. Sehingga suatu hari ‘B’ bersikap dingin terhadap perhubungan mereka. ‘B’ mulai cepat marah terhadap perkara kecil dan juga apabila gadis ini menanyakan soalan yang sama kepada ‘B’. ‘B’ mula mendiamkan diri, tidak lagi menelefon ataupun berjumpa gadis ini. Apabila gadis ini menelefon ‘B’, telefon berdering tetapi tidak berjawab. Gadis ini mula berasa risau sesuatu yang buruk menimpa ‘B’. Perkara yang sama berlaku berlarutan dari sehari hingga ke berminggu-minggu. Tetapi gadis ini masih lagi menaruh harapan pada ‘B’. Tiba-tiba pada suatu hari, ‘B’ telah menelefonnya dan telah meminta hubungan mereka yang dulunya sebagai sepasang kekasih bertukar sebagai sahabat karib dan saat-saat gembira mereka dulu dilupakan. ‘B’ juga telah memberi alasan yang mereka tidak mungkin dapat bersama atas sebab-sebab tertentu.

Walaupun hubungan mereka sebagai seorang sahabat kini, gadis ini tidak boleh dan tidak akan dapat melupakan saat-saat gembira mereka bersama dan layanan ‘B’ padanya dulu. Dia memaafkan ‘B’ dan menyetujui pada takdir yang tidak dapat menyatukan mereka. Gadis ini berasa sedih tetapi kehidupannya perlu diteruskan dan mereka berdua adalah sahabat karib yang terus berkekal.

Walaupun cinta telah diperolehi namun segala-galanya bukan penentu. Banyak halangan boleh berlaku tanpa diduga dan juga takdir yang ditentukan pada seseorang itu. Dari kisah tersebut, gadis ini masih lagi mempunyai harapan pada lelaki itu untuk kembali agar mereka dapat bersama. Oleh itu, cinta boleh dicari, tapi penentuan untuk bersama bukannya 100% hak individu untuk menentukannya. Kita sebagai manusia haruslah menghargai apa yang ada pada kita dan apa yang telah kita perolehi dalam hidup dan menerima seadanya.


Writer:
Nur Azyyati Abdul Rahman
Pembantu Pegawai Projek
Penang FPA



Become Member!