About Us
   Products & Services
   Registration Form
   Volunteer
   Youth Center
   Contact Us
           
 You are in :: Home > Articles
Articles
Q&As



Pengalaman Saya Bersama Remaja Seluruh Malaysia

Saya bersekolah di sekolah perempuan dari peringkat rendah ke menengah. Di universiti, saya ditempatkan pula di asrama yang didiami siswi sahaja. Bayangkan betapa bosannya hidup ini!

Namun saya dan kawan-kawan tidak pernah ketinggalan dalam ekspedisi mengharungi ‘setiap detik yang harus dilalui sebagai remaja’. Di sekolah, kami bebas dan ‘enjoy’ [menikmati] sepenuhnya tanpa rasa malu atau kekok sekiranya kelakuan kami akan diperhatikan atau dikutuk oleh budak lelaki. Namun kami menyedari, hidup ini tidak ‘sempurna’ tanpa kehadiran kaum Adam.

Sekolah kami terletak di atas bukit. Di bawah bukit pula terdapat sebuah sekolah budak lelaki. Semasa waktu rehat, kami gemar berkeliaran di sepanjang pagar yang memisahkan kedua-dua sekolah ini.

Biasanya kami bergaul dalam kumpulan. Adakalanya juga kami memberanikan diri untuk bertemu berdua-duaan. Tetapi kalau guru disiplin membuat rondaan, memang sepanjang pagar bagaikan kawasan gurun sahara! Peluang untuk mengeratkan persahabatan timbul apabila kami menghadiri kelas tuisyen yang sama. Disitulah, dalam masa yang amat terhad, kami ‘dibenarkan’ untuk ‘bergaul secara terbuka’.

Tidak dinafikan ada diantara kawan-kawan kami pun mula berpasangan dan kami menjadi begitu 'busy-body' [sibuk sekali] mengikuti perkembangan and setiap episod jalan cerita kisah percintaan mereka. Sehingga hari ini, saya masih berkawan rapat dengan budak-budak lelaki dari sekolah bawah bukit dan merekalah sumber informasi tentang kaum Adam bagi saya dari dahulu hingga sekarang.

Sebagai remaja, saya mempunyai banyak persoalan. Ada yang terjawab dan ada yang tidak terjawab. Dalam tempoh 5 tahun bersama Persatuan Perancangan Keluarga, saya sempat berkunjung ke semua negeri di Malaysia (kecuali Kelantan) dan bertemu para remaja, ibu bapa dan guru-guru. Sama seperti saya, remaja hari ini (dan ibu bapa dan guru) juga mempunyai banyak persoalan terutamanya yang berkenaan dengan kesihatan seksual dan reproduktif remaja [adolescent sexual and reproductive health ~ ASRH].

Malah, dari pengalaman saya bertemu remaja se-Malaysia dan termasuk remaja dari negara-negara lain, satu persetujuan yang dicapai ialah, kami berpendapat bahawa ‘masyarakat terlalu kedekut’ untuk memberikan maklumat ASRH. Padahal ketika ini, kita amat keliru dan memerlukan didikan dan bimbingan dalam perkara-perkara ASRH. Tidak kira remaja lelaki atau perempuan, perasaan ingin tahu sedang berkobar-kobar. Orang dewasa takut jikalau remaja mengetahui tentang seks, kita akan terus mahu mencubanya.

Satu kajian oleh UNFPA (United Nations Population Funds) telah membuktikan bahawa remaja yang menerima pendidikan ASRH AKAN menangguhkan pengalaman seks mereka! Ini kerana ASRH merangkumi pelbagai aspek yang memperkasakan [empower] para remaja, seperti yang dijelaskan di bawah.

Semasa akil baligh, badan kita mengalami pertumbuhan dan perubahan yang mendadak. Ada yang akan mengalaminya awal, ada yang lewat. Bak kata, ‘tak kenal maka tak cinta’. Kita perlu kenali tubuh badan kita dan hargai tubuh badan kita. Pendidikan dan pengetahuan tentang bagaimana badan kita (lelaki dan perempuan) berfungsi amat penting untuk memahami sistem reproduktif manusia dan tindakbalas seksual yang sedang dialami. Si perempuan perlu mengambil berat akan ‘pengunjung bulanan’ dan yang lelaki pula akan terbangun awal pagi dan dapati, ‘Oops, Saya dah basah!’ Semasa membesar, perasaan dan emosi kita juga mula bergolak dan kita mungkin menjadi amat sensitif. Fikiran yang positif dan terbuka amat penting dan janganlah kita memencilkan diri atau memendamkan perasaan rendah diri.

Kesihatan zaman remaja penting kerana ia menentukan perkembangan dan pembentukan fizikal dan mental seseorang sehingga dewasa dan tua. Justeru amalkan gaya hidup yang sihat dan elakkan tingkahlaku yang berisiko. Jauhilah diri dari merokok, meminum alkohol dan mencuba dadah. Pastikan juga anda tidak mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan dan jangan sekali-kali menyahut cabaran yang mungkin membawa maut. Dalam pada itu, kesihatan seksual remaja juga merangkumi informasi tentang seks dan kehamilan dan selok-belok untuk mengelakkan diri dari terjebak dalam ‘perangkap seks’. Pengetahuan tentang penyakit kelamin dan HIV/AIDS juga merupakan sebahagian daripada pendidikan seks.

Lelaki dan perempuan banyak persamaan dan juga perbezaannya. Adakalanya kita rasa bertuah menikmati kelebihan sebagai perempuan, tetapi pada masa lain, rasanya lebih baik menjadi lelaki pula! Mengapa lelaki tak boleh bermain anak patung? Mengapa perempuan harus membuat semua kerja rumah? Hakikatnya, lelaki dan perempuan mempunyai peranan masing-masing dan yang paling ideal jika kita boleh berganding bahu dan berkongsi tanggungjawab. Namun, para remaja mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang isu gender dan ianya amat menarik untuk dibicarakan dan didebat.

Setiap manusia mempunyai haknya termasuklah hak seksual dan reproduktif. Jika kita rasa tidak selesa apabila diganggu oleh orang lain, kita harus mempertahankan diri dan memberhentikan tingkahlaku sumbang itu. Ingat!, badan anda adalah hak anda sendiri dan tidak ada orang yang berhak memegang, memukul, mencederakan atau mendera anda. Setiap ahli masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk menangani penderaan seksual dan keganasan rumah tangga.

Pendidikan moral di sekolah bertujuan menanamkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar. Nilai-nilai dalam diri kita boleh dibahagikan kepada nilai keluarga, nilai masyarakat, nilai agama dan nilai universal. Dalam hidup ini, kita perlu mengetahui dan menyedari apa yang penting dan perlu kita hargai. Pilihan, tingkahlaku seseorang dan keputusan yang diambil, mencerminkan nilai seseorang itu. Justeru nilai-nilai murni mestilah dipupuk dalam diri setiap insan.

Kawan-kawan mempunyai pengaruh yang besar dalam diri remaja. Kawan boleh menjadi teman, memberi nasihat, dorongan dan sokongan, membantu kita dalam masa kesusahan dan berkongsi rahsia dan kegembiraan kita. Kita juga akan mula menjalin persahabatan dengan kawan berlainan jantina dan mungkin akan jatuh cinta. Apa yang paling penting ialah mencari kawan yang boleh menerima dan menghormati diri anda. Kawan yang baik tidak akan memaksa anda dan akan menghulurkan bantuan jika diperlukan. Pilihlah kawan dengan bijak!

Keluarga juga amat penting dalam hidup seseorang remaja. Ibu bapa dan remaja harus saling memahami dan menghormati pendapat dan pandangan satu sama lain dan berusaha mengekalkan perhubungan yang harmoni. Remaja mesti menyedari peranan diri sendiri sebagai seorang ahli keluarga, menanamkan sikap prihatin dan tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang lain dan warga tua. Ini amatlah penting sebagai asas untuk para remaja mendirikan rumah tangga kelak, memulakan sebuah keluarga sendiri dan menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab di masa hadapan.

7 Konsep di atas terkandung dalam Modul Kesihatan Reproduktif Remaja [atau Reproductive Health of Adolescents Modul ~ RHAM] yang dihasilkan oleh FFPAM [Federation of Family Planning Associations, Malaysia] dan semua Persatuan Perancangan Keluarga Negeri ada menjalankan program RHAM. Dalam pada itu, kita juga mengesan ada kelainan atau keunikan yang tersendiri di kalangan remaja. Ada yang berfikiran terbuka dan menerima kehadiran kami dengan ‘hangat’ dan ada yang tersipu-sipu juga. Ada yang selesa berbincang tentang seks dengan ibubapa dan ada yang hanya berkongsi dengan kawan-kawan. Ada yang terganggu (secara emosi dan mental) tentang perkara ASRH dan ada pula yang tidak pernah terfikir sehingga kami mengungkitkannya.

Zaman keremajaan, memang banyak cabaran dan pahit manisnya. Kami berharap dengan dorongan dan bimbingan kami, para remaja Malaysia akan dapat mengharungi usia belasan tahun ini dengan penuh keriangan dan kebahagiaan yang bakal menjadi memori indah dibawa ke alam dewasa. Kami juga berharap dengan berbekalkan maklumat dan kemahiran hidup yang kami berikan, para remaja akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dan semoga anda dapat merentasi alam keremajaan anda dengan gembira.


Writer:
Mae Tan Siew Mann, Community Education Officer
FFPAM


Become Member!